KODIANG: AGRARIAN 2012 EXTREME MOUNTAIN BIKE JAMBOREE

KODIANG: AGRARIAN 2012 EXTREME MOUNTAIN BIKE JAMBOREE
AGRARIAN 2012 EXTREME MOUNTAIN BIKE JAMBOREE

Sunday, June 10, 2012

The trek (AGRARIAN 2012 X-MTB)

Kodiang simpan pelbagai sejarah


Pembangunan yang wujud akhirnya menyebabkan Kampung Kodiang yang dahulunya menjadi pusat pentadbiran berubah kepada Pekan Kodiang yang ada sekarang.

Nama Kampung Kodiang Lama berasal daripada sebuah bukit iaitu Bukit Kodiang.

Jika diteliti daripada penerokaan awal, pinggir Bukit Kodiang menjadi tapak pertama yang dibuka secara rasmi, justeru tidak hairan jika nama Kodiang diambil sempena nama bukit tersebut.

‘Kodiang’ berasal daripada perkataan bahasa Thai iaitu ‘Kokding’ yang bermaksud Bukit Merah.

Bahasa Thai pula sememangnya tidak asing kerana terdapat beberapa rangkaian bukit dan nama tempat juga dalam bahasa Thai antaranya Bukit Keplu dan Changlun yang bermaksud Bukit Sireh dan Gajah Jatuh.

Pengaruh bahasa Thai adalah disebabkan hubungan politik yang rapat dengan kerajaan Siam di utara.

‘Lama’ muncul apabila wujudnya Pekan Kodiang yang baru terletak ke utara sedikit dari kampung tersebut.

Kewujudan Pekan Kodiang adalah selaras dengan pembangunan yang dialami iaitu pembinaan jalan raya yang menghubungkan Jitra dengan Arau, Perlis dan juga Pekan Sanglang dan Pekan Changlun di sebelah timur dan barat.

Pertemuan persimpangan ini dapat memusatkan penduduk dan aktiviti seharian serta memungkinkan kewujudan pekan kecil yang baru.

Bagaimanapun akhirnya Kampung Kodiang hilang kepentingan sebagai pusat tumpuan dan persinggahan.

Sementara itu, perkataan ‘Dalam’ lahir apabila sekali lagi projek pembangunan melalui kampung ini.

Pada 1967, merujuk kepada pembinaan terusan di Kampung Kodiang yang dinamakan Terusan Utara dibina melalui dan merentasi kampung ini dan menyebabkan Kampung Kodiang terbelah kepada dua iaitu sebelah dalam dan luar.

Akhirnya ia membawa kepada pengasingan pentadbiran kampung iaitu Kampung Kodiang Lama Luar dan Kampung Kodiang Lama Dalam.

Berdasarkan sejarah, kawasan Kampung Kodiang dianggarkan dibuka sejak pertengahan kurun ke 14 lagi.

Ini berdasarkan fakta sejarah iaitu Kota Siputeh pernah menjadi kota pemerintahan kerajaan Kedah selama 300 tahun (1321- 1619) iaitu seramai enam keturunan kesultanan Kedah pernah bersemayam dan mangkat di kota ini sebelum berpindah ke Kota Naga.

Sumber ini daripada Penulis dan Penyelidik Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Mahazir Ramlee.

Apa kata orang lama

Generasi keempat yang berasal daripada Kampung Kodiang Lama, Harun Husain, 72, ketika ditemui Sinar Harian menceritakan serba sedikit apa yang diketahuinya mengenai asal usul kampung itu yang banyak nilai sejarahnya.

Bukti penemuan sejarah yang mengatakan bahawa Gua Kerbau yang terletak di Kampung Kodiang Lama pernah menjadi pusat melatih tentera Kedah untuk menentang kerajaan Siam semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804- 1843).

Tengku Anom adalah tokoh yang memainkan peranan dalam mengembalikan takhta kerajaan Kedah kepada Tengku Ahmad Tajuddin dengan menjadikan Daerah Kubang Pasu sebagai pusat serangan.

Harun berkata, seperti yang dia tahu, orang lama terdahulu pernah menceritakan bahawa asal usul nama Gua Kerbau wujud apabila terdapat seekor kerbau yang kalah dalam acara berlaga kerbau lari masuk ke dalam gua berkenaan.

“Dahulu terdapat orang berlaga kerbau di sebuah padang di Kodiang Lama, kata mereka kerbau yang kalah telah lari masuk ke gua dan hilang selepas itu.

“Kemudian beberapa lama selepas itu dipercayai terdapat satu batu yang menyerupai bentuk kerbau yang sedang tidur di pintu masuk gua berkenaan dan dari situlah agaknya timbul nama gua tersebut sebagai Gua Kerbau berdasarkan cerita-cerita orang lama,” katanya.

Bagaimanapun Harun berkata, sejak Gua Kerbau dinaikkan taraf sekitar 1995, ia mula membangun dan menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar negara sekali gus menjadikan Kodiang sebagai destinasi pelancongan.